#1 Mohon Keampunan - Istighfar & Doa
"Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...
Hamba sedar hamba berbuat banyak maksiat...hingga tidak terkira kesalahan dan dosa-dosa hamba kepada-Mu Ya Allah, tapi hamba yakin akan Engkau yang pernah berjanji bahawa Engkau mengampuni setiap hamba yang bertaubat sebagaimana kalam-Mu...
وَهُوَ ٱلَّذِى يَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ وَيَعۡفُواْ عَنِ ٱلسَّيِّـَٔاتِ وَيَعۡلَمُ مَا تَفۡعَلُونَ
Maksudnya: "Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan"
Surah al-Syura (42) Ayat 25
Ya Allah, Ya Khaliq (Maha Mencipta)...aku hamba-Mu, yang telah Kau ciptakan dari tanah dan air yang terpancar, semata-mata untuk beribadah kepadaMu...
dan aku ingin kembali...kembali kepada fitrah kejadianku, kembali kepadaMu...
jika kepada penerima taubat tidak dikabulkan, kepada siapa lagi aku mesti kembali?
Oleh itu, Ya Allah, Ya Tawwab (Maha Penerima Taubat)... terimalah taubatku,
Ya Allah, Ya 'Afuw (Maha Pengampun), Ya Ghaffar (Maha Mengampuni)...ampunilah segala dosa-dosaku,
Ya Allah, Ya Waliy (Maha Melindungi), Ya Muhaimin (Maha Menjaga), Ya Hafiz (Maha Pemelihara) ... jagalah aku, bimbinglah aku, redhailah dan kasihilah aku,
Ya Allah, Ya Muiz (Maha Pemberi Kemuliaan)... angkatlah darjatku disisiMu
Ya Allah, Ya Wahhab (Maha Pemberi yang Memberi Tanpa Batas), Ya Fattahu (Maha Membebaskan) Ya Rozzaq (Maha Pemberi Rezeki)... kurniakanlah kepadaku rezeki yang tidak pernah putus sebagaimana Engkau berikan kepada orang-orang alim dan soleh yang hidup sebelumku dan kepada orang yang Kau kehendaki, kurniakanlah rezeki yang membawa aku dan seluruh ahli keluargaku semakin dekat kepadaMu...
Post a Comment