Tidak dinafikan, membeli-belah dan window shopping adalah kepakaran hampir setiap wanita. Dari barangan dapur atau groceries, alat mekap, pakaian untuk suami dan anak-anak, hampir kesemuanya dilakukan oleh wanita terutamanya seperti saya sendiri.
Selalunya selepas keluar membeli barang, saya akan menyusun dan menyimpan barang-barang yang dibeli di tempat masing-masing. Groceries akan disimpan dalam kabinet dapur, barang basah akan diproses terlebih dahulu sebelum disimpan dalam peti ais.
Kerapkali sebelum saya praktis pembelian secara berhemah (saya kongsikan caranya di bawah), saya dapati sebahagian barang tersebut sebenarnya tidak ada dalam perancangan awal dan lebih malang lagi saya langsung tak perlu.
Kenapa saya beli?
Salah satu sebab yang dapat saya kenalpasti adalah kerana terpengaruh dengan diskaun yang kononnya diberi oleh kedai tersebut - Jualan separuh harga, diskaun 60% walaupun sebenarnya harga sebelum diskaun dinaikkan secara tak masuk akal. Pembelian seperti ini dipanggil impulse buying.
Untuk mengelakkan barangan yang tidak perlu, ini yang saya lakukan dan cara ini sangat berkesan dan membantu saya menguruskan kewangan keluarga saya.
1. Tetapkan Bajet
Sebagaimana anda membuat bajet bulanan untuk membayar segala hutang dan pinjaman setiap kali anda menerima gaji, lakukan perkara sama untuk pembelian dan perbelanjaan harian anda.
2. Asingkan Bajet Mengikut Jenis Perbelanjaan
Asingkan wang mengikut jenis perbelanjaan yang anda tetapkan dalam dompet yang berbeza (atau dalam akaun bank yang berbeza jika anda adalah seorang yang cashless). Contohnya, untuk perbelanjaan dapur, anda letakkan wang tersebut dalam dompet A (Maybank). Manakala untuk perbelanjaan kereta, minyak kereta dan tol, letakkan wang dalam dompet B (Bank Islam).
Untuk memudahkan pengurusan wang, anda boleh guna 'Cash Envelope' untuk asingkan wang perbelanjaan mengikut kategori.
3. Komit Dengan Bajet Yang Telah Ditetapkan
Bersikap tegas walaupun dengan diri anda sendiri. Patuhi bajet yang anda telah tetapkan.
4. Buat Senarai Barangan beserta Harga
Tulis senarai barangan yang ingin dibeli serta anggaran harga barangan tersebut. Dengan itu, anda sedikit sebanyak dapat mengelak dari membeli barangan yang tidak ada dalam senarai tersebut.
Atau, anda serahkan senarai tersebut kepada suami untuk beli bagi pihak anda. Confirm beliau akan beli sebagaimana senarai sahaja (anda perlu berkompromi jika suami membeli barangan tidak menepati spesifikasi atau standard anda)
5. Bawa Duit Tidak Melebihi Bajet
Saya teringat kepada cerita suami saya semasa beliau belajar dahulu. Salah seorang kawannya, Akram, mempunyai satu tabiat yang boleh kita contohi - beliau akan membawa duit cukup-cukup dengan barangan yang ingin dibeli setiap kali ke kedai. Sebagai contoh, beliau ingin membeli sebotol kicap, beliau akan membawa RM2.80 hanya untuk membeli kicap tersebut. Tidak lebih dan tidak kurang.
Kedengaran agak mustahil untuk dipraktikkan, tapi anda boleh cuba. Pasti boleh dengan syarat anda tidak membawa kad debit atau kad kredit.
Dan Akram juga menggunakan taktik ini untuk mengelakkan di 'paw' oleh rakan-rakan lain apabila keluar makan bersama 😅
6. Kongsi dengan pasangan barangan yang anda mahu beli
Suami sebagai neutralizer atau check and balance. Kadang-kadang, kita rasa kita perlu, tapi sebenarnya pendapat kita dipengaruhi oleh keinginan. Jadi, pendapat orang kedua - suami kita boleh justify balik rasional setiap pembelian yang akan dibuat walaupun apa yang kita mahu beli itu dengan duit sendiri, apatah lagi jika duit suami.
Adakah anda mempunyai cara anda sendiri? kongsikan di ruangan komen :)
Post a Comment